Wednesday, March 20, 2013

One BIG TASK done :O)

Dari OSC ke PPZT....menggalas amanah dan beban yang sama...masih memakai kasut dan baju yang sama...juga masih aku yang sama..cuma tempat kerja yang berbeza...persekitaran juga berbeza...rakan-rakan dan bos yang berbeza...juga task yang berbeza-beza...bertempatkan unit pemantauan itu adalah tugasan hakiki disini....tapi tugasan sampingan....meriah...jaga punchcard..patot september..mintak tukar mei..sebab by september, insya allah masih dalam maternity leave...so takmo susahkan orang lain..mintak tukar siap2.... pastu dapat satu lagi memo...sumbangan artikel untuk bolg MyJPBD... 2 kali hokey...Mac dan September.... adehhhh....apa nak cite ek..banyak draf dah dikarang...and this is the final article....so untuk September nanti akan difikirkan semula....

BENARKAH AKU SEORANG PERANCANG BANDAR?

Masa sekolah rendah, kalau kita diminta menulis senarai cita-cita, majoritinya akan menyenaraikan doktor, cikgu, polis dan askar. Saat menginjak ke sekolah menengah, di dalam kelas tingkatan 1, teringat lagi saat ditanya mengenai cita-cita, pelbagai jawapan yang sudah naiktaraf saya dengari dari sahabat-sahabat daripada cikgu kepada cikgu sukan, daripada doktor kepada doktor gigi, daripada polis kepada tuan ASP, daripada askar kepada tuan Mejar. Melangkah pula kaki ke menengah atas, kita diberi ruang dan peluang untuk memilih subjek elektif, ada juga yang pasrah diletakkan di kelas mana berdasarkan keputusan PMR yang ada. Permulaan pengkhususan dari aliran sains, ada yang ke aliran sastera, tidak kurang yang berada di aliran perakaunan, ramai juga yang memilih untuk berada di aliran teknikal. Pilihan ini adalah tiket, tiket yang akan membawa kemana kaki akan melangkah sebaik sahaja tamat persekolahan. Bagi yang bercita-cita besar akan mula mengejar subjek-subjek kegemaran. Skor yang gempak setiap kali ujian dan peperiksaan. Mula ada yang rasa, aku pasti akan menjadi doktor, pasti akan belajar biologi bersungguh-sungguh, ada juga yang mula bercita-cita menjadi jurutera, mula tekun dengan subjek fizik, bagi yang teringin menjadi akauntan, matematik dan subjek perakaunan menjadi keutamaan. Namun tidak pernah pula kedengaran ada yang bercita-cita nak jadi Pegawai Perancang Bandar dan Desa. Saya sendiri tidak pernah termimpi dan bercita-cita untuk menjadi Pegawai Perancang Bandar. TIDAK PERNAH terfikir mahupun terbayang bahawa akhirnya saya menjadi seorang Pegawai Perancang Bandar. 

Dengan keputusan SPM yang cukup-cukup makan, saya mengisi borang kemasukan ke Politeknik. Pilihan pertama adalah Food Tech dan saat memilih pilihan kedua, agak sukar kerana kebanyakkan pilihan di politeknik bermula dengan perkataan kejuruteraan. Saya adalah pelajar Sains Pertanian, yang mengambil kesemua subjek aliran sains ditambah dengan sains pertanian sebagai subjek teknikal. Tiada asas lukisan kejuruteraan, tidak pula berminat dalam bidang lukisan, namun disaat terpandang kursus Perancangan Bandar dan Wilayah itu, ringan saja tangan ini menanda untuk membuat pilihan dengan bayangan di fikiran “alah, ini mesti subjek belajar ekonomi sikit, jalan-jalan tengok bandar sikit”. 

Saya masih terus berteka-teki, akan menjadi perancang bandarkah saya? Setelah tamat pengajian, tidak mudah untuk mendapatkan kerja, sempat saya menimba ilmu di badan penyelidikan sebagai pembantu penyelidikan dan sempat juga menjadi guru gantian. Akhirnya, pada tahun 2007, berbekalkan segulung ijazah itu, saya berjaya mendapatkan kerja di sebuah firma swasta dan setahun selepas itu saya berpeluang untuk menjadi penjawat awam yang bergelar seorang Pegawai Perancang Bandar dan Desa.

Walau perkhidmatan baru menjejak tahun kelima, saya semakin sayangkan profesyen ini. Yang pada asalnya saya terawang dan tidak pasti  apakah tepat pilihan saya, benarkah langkah dan laluan yang saya pilih? Saat terbaca kata-kata di bawah, saya yakin dan pasti ada sebab mengapa saya dan rakan-rakan berada dalam profesyen tersendiri. Kerana apa? Agar kita saling melengkapi antara satu sama lain demi menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

BUKAN SAJA-SAJA Allah meletakkan anda dalam BIDANG itu..
BUKAN SAJA-SAJA Allah mengurniakan anda KEPAKARAN itu..
BUKAN SAJA-SAJA Allah memasukkan KELEMAHAN itu..
BUKAN SAJA-SAJA Allah memberikan UJIAN sebegitu..
BUKAN SAJA-SAJA Allah membiarkan anda mengemudi dalam KEADAAN sebegitu..

MELAINKAN Allah tahu anda akan memberikan sesuatu dalam bidang itu..
MELAINKAN Allah tahu anda bakal membiakkan ilmu-ilmu itu..
MELAINKAN Allah akan temukan anda dengan insan-insan ikhlas membantu..
MELAINKAN Allah mahu menguatkanmu..
MELAINKAN Allah mahu anda tahu betapa tingginya kasih sayangNya padamu..



* wondering...apa gamaknya cita-cita anak2 saya nanti eh.....*


No comments: